KUALA LUMPUR – Serian masih merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan mencatatkan bacaan 236, setakat pukul 3.30 petang hari ini.
Bagaimanapun, angka terbabit menunjukkan sedikit penurunan berbanding bacaan IPU 258 yang dilaporkan pada pukul 9 pagi tadi.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak lima kawasan lain di Sarawak mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Lima kawasan berkenaan ialah Sri Aman (199), Samarahan (179), Kuching (177), Sarikei (119) dan Bintulu (101).
Sementara itu, sebanyak 50 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Antaranya, Sibu dengan bacaan IPU 99, Mukah (92), Samalaju (91), Larkin (90), Miri (90), Seremban (80), Kota Tinggi (78), Tangkak (78), Segamat (77) dan Labuan (77).
Selain itu, sebanyak 11 lagi kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap baik iaitu Seberang Perai (46), Sungai Petani (40), Kulim (35), Minden (33), Kota Bharu (26), Kangar (25), Alor Setar (24), Besut (19) dan Tanah Merah (18).
Di Langkawi dan Balik Pulau masing-masing mencatatkan bacaan IPU 15.
Bacaan IPU antara sifar sehingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 301 dan ke atas (berbahaya). -MalayaDailyToday


































































