KUALA LUMPUR – Berita gembira buat peminat tegar filem ikonik 3 Idiots! Pengarah terkemuka Bollywood, Rajkumar Hirani, akhirnya mengesahkan bahawa skrip bagi filem susulan (sekuel) karya blockbuster berkenaan kini sedang rancak ditulis.
Apa yang lebih menarik, Hirani memberi bayangan awal bahawa barisan pelakon asal filem berkenaan dijangka kembali menggalas watak masing-masing, sekali gus membuka peluang buat penonton menyaksikan semula gandingan mantap Aamir Khan (Rancho), R. Madhavan (Farhan), dan Sharman Joshi (Raju).
Bagaimanapun, Hirani menegaskan plot filem baharu ini tidak lagi berkisar tentang kehidupan kampus atau suka duka alam pengajian tinggi seperti filem pertama yang diterbitkan pada 2009 lalu.
“Cerita ini bukan lagi mengenai kehidupan pelajar. Ia akan meneroka apa yang berlaku dalam kehidupan mereka 20 tahun kemudian,” katanya ketika ditemu bual media antarabangsa.

Mengulas mengenai ilham pembentukan sekuel itu, Hirani mendedahkan idea asal berkenaan timbul secara tidak sengaja sewaktu beliau dan pasukannya sedang menyiapkan satu jalan cerita yang berbeza. Mereka kemudian menyedari konsep tersebut sangat sesuai untuk diadaptasi sebagai babak baharu buat tiga sahabat berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau mengambil sikap berhati-hati dan tidak tergesa-gesa membuat pengumuman rasmi memandangkan proses penulisan skrip masih berjalan. Bagi Hirani, kualiti cerita kekal menjadi keutamaan berbanding hanya bersandarkan kejayaan lampau.
“Apabila skrip ini benar-benar bersedia dan mencapai tahap yang betul, barulah kami akan mengumumkannya secara rasmi,” tambahnya.
Filem 3 Idiots yang ditayangkan pada 2009 bukan sahaja mencetuskan fenomena global menerusi gabungan elemen komedi dan emosi, malah turut mendapat pujian meluas kerana sindiran tajam terhadap sistem pendidikan dan tekanan akademik yang dihadapi generasi muda. -MalayaDailyToday


































































