KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digelarnya sebagai ‘guru’ agar mendengar suara rakyat serta mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan sistem percukaian sedia ada.
Membentangkan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini, Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan perlu menghentikan cadangan pelaksanaan sistem percukaian hibrid antara GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Guru, cukup-cukuplah guru. Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, guru. Cukup-cukuplah. Insya-Allah, kami boleh buat lebih daripada apa yang guru buat,” katanya di hadapan ribuan perwakilan.
Ahmad Zahid turut memberi penekanan bahawa langkah melaksana semula GST merupakan keputusan tepat yang pernah diambil oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.
Beliau menambah bahawa mesej berkenaan bukan sekadar pandangan peribadi atau parti, sebaliknya mencerminkan pendirian keseluruhan Barisan Nasional (BN) dan keresahan rakyat di peringkat akar umbi.
“Guru, dengarlah guru. Jangan butakan mata, jangan tulikan telinga. Cukup-cukuplah,” katanya sambil menegaskan bahawa teguran tersebut bertujuan meredakan kekeliruan rakyat dan bukannya bertindak sebagai batu api. -MalayaDailyToday


































































