KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan sekali-kali tunduk atau lemah berdepan pelbagai bentuk tekanan, fitnah dan intimidasi yang bertujuan menggugat serta mencalar reputasi pimpinan parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, beliau menegaskan bahawa segala cabaran dan serangan politik berkenaan hanya menguatkan kecekalan ahli parti untuk meneruskan perjuangan.
“Kita ini pejuang UMNO, pejuang Melayu. Dicabar kita bangkit, ditekan kita melompat lebih tinggi, dipukul kita berdiri lebih keras melawan. Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menjelaskan bahawa kejayaan politik yang kembali dicapai parti di Johor dan Negeri Sembilan diraih menerusi kecekalan berdepan ujian, terutamanya selepas usaha penyatuan ummah mendapat tentangan serta dicemburui pihak lawan.
Beliau menyifatkan laluan perjuangan UMNO sebagai satu sunnatullah yang menuntut kesabaran tinggi daripada ahli-ahlinya tatkala berdepan pelbagai badai dan tekanan politik berterusan. -MalayaDailyToday

































































