SINGAPURA – Bank terbesar Singapura, DBS Bank Ltd berdepan saman yang menuntut ganti rugi dianggarkan berjumlah SGD$1.3 billion berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan oleh DBS yang turut merupakan pemberi pinjaman utama di Asia Tenggara.
Lapor media antarabangsa, DBS Group menerusi kenyataan memaklumkan saman itu difailkan oleh beberapa penuntut termasuk penyelesai hutang (liquidator) bagi pihak empat syarikat.
Empat syarikat itu terdiri daripada Blackrock Commodities (Global), Platinum Global Luxury Services, Affinity Equity International Partners dan TKIL Global Investments.
Setakat ini, pihak penyelesai hutang masih belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, DBS Group menolak tuntutan berkenaan dan menegaskan akan mempertahankan pihaknya dengan bersungguh-sungguh.
Jelas DBS Group, tiada sebarang peruntukan perlu dibuat bagi tuntutan mahkamah itu.
Tambah kenyataan itu, selama ini, tiada tuntutan difailkan terhadap DBS.
Kes saman membabitkan DBS merupakan isu terbaharu dalam usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB yang dilaksanakan di peringkat global dengan sokongan penasihat undang-undang sejak 2018.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion dana 1MDB diseleweng antara tahun 2009 dan 2014. -MalayaDailyToday

































































