KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula menempatkan pakar perubatan tetap di beberapa hospital daerah di Sabah seperti Kota Marudu dan Beaufort bagi menangani isu kekurangan tenaga pakar yang berlarutan di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu melengkapkan inisiatif sedia ada kementerian yang menggerakkan sistem penggiliran pakar ke kawasan luar bandar.
Beliau menjelaskan bahawa KKM menyasarkan tempoh tiga hingga lima tahun untuk merapatkan jurang perkhidmatan kepakaran dengan memperkasakan Kluster Sandakan dan Tawau agar setaraf Kota Kinabalu, merangkumi penawaran perkhidmatan kardiotorasik.
“Anak tempatan Sabah lulusan Institut Latihan KKM kini diserap secara tetap menerusi kuasa autonomi perjawatan, disusuli pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 15 peratus, kelulusan Elaun Perpindahan Penuh, dan semakan insentif Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP),“ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dr Dzulkefly turut memaklumkan tindakan segera menaik taraf kuarters petugas di Lahad Datu, Beaufort, dan Kota Marudu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Bagi mengurangkan kesesakan lobi dan wad hospital awam, KKM mengagresifkan Program Hospital Services Outsourcing kepada sektor swasta serta memanfaat kapasiti perubatan menerusi kolaborasi bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS).
Skop penyumberan luar itu diperluas kepada 15 perkhidmatan kritikal termasuk rawatan dialisis, imbasan diagnostik, serta pembedahan berkala bagi memendekkan tempoh menunggu dan menyelesaikan kes tunggakan pesakit.
Mengulas mengenai perancangan jangka panjang, beliau mengumumkan sebanyak 53 projek pembangunan kesihatan bernilai RM1.56 bilion bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selain peruntukan RM75.5 juta bagi menaik taraf 132 klinik daif.
Tambahnya, KKM menyuntik RM1 bilion bagi pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dengan sasaran integrasi digital dipercepatkan ke suku pertama 2027 bagi merealisasikan visi ‘Satu Individu, Satu Rekod’ menjelang 2030. -MalayaDailyToday
































































