SERDANG – Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencatatkan kejayaan cemerlang apabila mengatasi sasaran awal dengan menarik kehadiran lebih empat juta pengunjung, sekali gus memperkukuh kedudukan sektor agromakanan negara di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian membanggakan itu turut disokong oleh nilai jualan keseluruhan dan nilai kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) yang melampaui penetapan asal.
Beliau menyampaikan puji-pujian tersebut ketika merasmikan majlis penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.
Turut hadir pada majlis penutupan berkenaan ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar menegaskan bahawa sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk barisan kepimpinan tertinggi negara dan kerabat diraja, mencerminkan petanda positif bagi hala tuju keterjaminan makanan negara.
“Permintaan agar peruntukan penganjuran MAHA ditambah, ia boleh diberikan bersesuaian dengan prestasi yang membanggakan,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mendedahkan pertumbuhan pesat sektor eksport produk pertanian tempatan, seperti pengeluaran nanas dan bawang negara yang menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sebagai langkah ke hadapan, Anwar mengingatkan semua pihak berkepentingan agar memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara berkesan bagi merealisasikan setiap komitmen pelaburan dan perdagangan yang dimeterai sepanjang pameran berlangsung. -MalayaDailyToday

































































