PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi tempoh enam bulan.
Perlantikan Zabariah adalah bagi menggantikan Datuk Nallini Pathmanathan yang tamat tempoh perkhidmatan.
Nalini tamat tempoh perkhidmatan dua bulan lepas.
Dalam laman sesawang JAC, nama Zabariah disenaraikan dalam senarai terkini anggota suruhanjaya itu bersama sembilan lagi individu.
Pelantikan Zabariah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan Seksyen 5(1)(e) Akta JAC.

Zabariah yang genap berusia 66 tahun pada 10 April lalu, menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Usia 66 tahun adalah had umur persaraan wajib bagi hakim.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli turut menganggotai JAC selaku pemegang empat jawatan tertinggi dalam badan kehakiman. -MalayaDailyToday