NEW DELHI – Beberapa pelajar dari Kashmir yang menetap di India mendakwa mereka menjadi mangsa ugutan, gangguan dan fitnah susulan serangan berdarah di Pahalgam, Kashmir yang mengorbankan lebih 26 lelaki pada Selasa lalu.
Serangan paling dahsyat ke atas orang awam di wilayah majoriti Muslim itu sejak tahun 2000, mengundang kemarahan kumpulan nasionalis Hindu. Akibatnya, pelajar Kashmir di negeri seperti Uttarakhand, Uttar Pradesh dan Himachal Pradesh dilaporkan dipaksa keluar dari asrama dan rumah sewa mereka.
Konvenor Persatuan Pelajar Jammu dan Kashmir, Nasir Khuehami berkata, pelajar dituduh sebagai “pengganas” dan diugut oleh kumpulan ekstremis seperti Hindu Raksha Dal agar segera meninggalkan kawasan.
Di Dehradun, seramai 20 pelajar dilaporkan melarikan diri ke lapangan terbang kerana takut dicederakan. Di Himachal Pradesh pula, pintu asrama dipecahkan dan pelajar diserang secara fizikal, menurut laporan AFP.
Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah menyeru kerajaan negeri terlibat memberi perlindungan, manakala bekas ketua menteri Mehbooba Mufti menggesa Menteri Dalam Negeri India campur tangan segera.
Ketegangan ini berlaku dalam konteks konflik panjang antara India dan Pakistan yang sama-sama menuntut wilayah bergolak itu sejak 1947. Walaupun India menuduh Pakistan mendalangi serangan tersebut, Islamabad menafikan sebarang penglibatan.
Dalam saat penuh ketakutan ini, pelajar Kashmir hanya mampu berharap agar suara dan hak mereka tidak terus tenggelam dalam kebencian yang membara. -MalayaDailyToday