KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman secara rasmi menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan kewujudan sistem hierarki dan isu kepenjaraan, selain mengemukakan permohonan maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia.
Yasin menerusi kenyataan media menjelaskan bahawa perkongsiannya dalam sebuah program audio siar (podcast) sebelum ini dibuat berdasarkan pemerhatian ketika beliau sedang mengalami episod bipolar mania sebelum menerima rawatan di Hospital Bahagia.
“Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta seluruh pegawainya atas kekeliruan yang timbul, sambil menegaskan perkongsian tersebut tidak dibuat dengan niat untuk mencemarkan imej atau memperkecilkan peranan institusi berkenaan.
Yasin turut menyatakan rasa kesal dan berharap penjelasan serta penarikan balik kenyataan itu dapat menyelesaikan kekeliruan masyarakat berhubung isu berkenaan secara baik.
Langkah berkenaan dibuat susulan penafian rasmi Jabatan Penjara Malaysia semalam yang menolak dakwaan Yasin berhubung kewujudan kumpulan berpengaruh seperti ‘bos’ dan ‘taiko’ serta amalan rasuah di dalam premis penjara. -MalayaDailyToday



























































