WASHINGTON – Sistem Pusat Maklumat Jenayah Kebangsaan (National Crime Information Center atau NCIC) yang menjadi pangkalan data utama Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dipercayai diceroboh penggodam, sekali gus menandakan serangan siber kedua terhadap agensi itu dalam tempoh beberapa bulan.
Reuters melaporkan CNN yang memetik dua sumber rapat dengan siasatan insiden berkenaan berkata, pencerobohan tersebut disyaki didalangi kumpulan penggodam namun butiran terperinci mengenainya masih belum didedahkan.
Setakat ini, pihak FBI belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai skala serangan, identiti dalang yang bertanggungjawab mahupun sama ada data sensitif telah diakses pihak tidak bertanggungjawab.
Untuk rekod, NCIC merupakan antara pangkalan data terpenting penguatkuasaan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) yang menyimpan pelbagai rekod berkaitan jenayah termasuk maklumat individu dikehendaki, rekod tangkapan serta kenderaan hilang.
Insiden terbaharu itu mencetuskan kebimbangan serius terhadap tahap keselamatan siber sistem maklumat agensi penguatkuasaan undang-undang negara berkenaan, khususnya susulan beberapa siri ancaman siber menyasarkan institusi kerajaan sejak kebelakangan ini.
Siasatan lanjut berhubung dakwaan pencerobohan berkenaan masih giat dijalankan dan tiada maklumat tambahan didedahkan pihak berkuasa setakat ini.-MalayaDailyToday






















































