KOTA BHARU – Jabatan Penjara Malaysia hari ini menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman mengenai kewujudan sistem hierarki serta elemen rasuah yang menentukan tahap kehidupan banduan di dalam tirai besi.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa menegaskan pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memberi fokus utama kepada aspek keselamatan dan program pemulihan prospek.
“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan dan cuba atasi perkara negatif yang berlaku di penjara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Pengkalan Chepa.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan Yasin menerusi sebuah program audio siar (podcast) baru-baru ini yang mendakwa wujud kumpulan berpengaruh seperti ‘bos’ dan ‘taiko’ di dalam penjara, selain mendakwa bekalan dadah boleh dibawa masuk menggunakan sokongan kewangan.
Mohamad Rosidek menambah bahawa sebarang salah laku di dalam premis penjara akan sentiasa ditangani mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan, selain SOP berkaitan ditambah baik dari semasa ke semasa. -MalayaDailyToday



























































