PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi menetapkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah kelolaannya.
KPM dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dicapai hasil perbincangan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyesuaikan polisi dengan keperluan semasa sektor pendidikan negara.
“Penyelarasan ini dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara,” menurut kenyataan itu.
Langkah ini diambil selepas KPM mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat ekuiti Bumiputera berkenaan, seperti yang pernah terkandung dalam Buku Pernyataan Dasar IPS terbitan tahun 2006.
Kementerian turut menterjemahkan penghargaan kepada semua pengusaha IPS atas sumbangan mereka dan berikrar akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan demi memajukan kualiti pendidikan anak-anak Malaysia. -MalayaDailyToday


























































