KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman mendedahkan pengalaman beliau bertemu serta beramah mesra dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berkhidmat dan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Yasin berkongsi perkara berkenaan menerusi episod podcast Dark Room Sessions (Sembang Seram), di mana beliau memberitahu sering diundang menghiburkan majlis-majlis di dalam penjara dan diberi peluang duduk semeja bersama pengarah penjara serta Najib.
“Sebelum jumpa beliau dalam penjara, saya tak pernah jumpa secara bersemuka. Bila dah jumpa, saya mendapati beliau seorang yang budiman (gentleman), sangat prihatin dan soft-spoken,” kata Yasin.
Beliau menambah bahawa bekas Perdana Menteri itu kerap bertanya mengenai perkembangan kes hukumannya, di samping menunjukkan perhatian terhadap kebajikan beliau sepanjang berada di sana.
Yasin turut mengimbas kembali detik beliau dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, yang disifatkannya sebagai satu kejutan besar selepas tidak menduga akan berdepan hukuman berat berkenaan.
Perkongsian Yasin itu menarik perhatian ramai memandangkan kedua-dua individu berkenaan merupakan antara figura terkenal yang pernah ditempatkan di Penjara Kajang. -MalayaDailyToday





























































