KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal menambah baik syarat pelesenan pusat kecantikan, spa dan premis urutan di ibu negara bagi memudah cara pendaftaran perniagaan secara sah di samping membanteras amalan rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perincian berkenaan telah dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bagi menyelaraskan penguatkuasaan serta keperluan tenaga kerja industri.
Beliau mencadangkan sesi penyelarasan lanjut dipengerusikan bersama oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, dengan penglibatan Jabatan Imigresen Malaysia serta Pusat Pelancongan Islam (ITC).
“Proses pelesenan mesti dibersihkan dan tidak boleh ada sebarang ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah,” kata Yeoh menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Yeoh turut menegaskan pentingnya peranan ITC bagi memastikan premis kesihatan dan kecantikan di Kuala Lumpur berupaya memenuhi standard pasaran pelancongan mesra Muslim memandangkan ibu negara menerima kunjungan pelancong antarabangsa yang tinggi.
Langkah penambahbaikan itu dijangka dapat menyeragamkan tindakan agensi kerajaan, memudah cara operasi perniagaan yang patuh undang-undang, serta memelihara imej pelancongan Malaysia. -MalayaDailyToday



























































