KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencetuskan tumpuan awam selepas memuat naik dua hantaran berbentuk grafik di platform X mengenai isu rasuah, pengampunan dan pengkhianatan bangsa tanpa menamakan mana-mana pihak secara khusus.
Hantaran pertama yang dikongsikan beliau menyatakan bahawa “sekiranya sesebuah negara mengampunkan penjenayah lebih pantas daripada menghargai wira, generasi masa depan akan menganggap rasuah sebagai satu kerjaya dan bukannya jenayah”.
Beberapa jam selepas itu, beliau memuat naik hantaran grafik kedua yang menyebut: “Bangsa sendiri yang mencuri hak bangsanya, tetapi dia akan menuduh bangsa lain supaya dia bebas terus mencuri.”
Kor Ming bagaimanapun tidak meletakkan sebarang kapsyen atau penjelasan lanjut berhubung sasaran atau maksud tersirat di sebalik kedua-dua perkongsian berkenaan.
Hantaran tular tersebut dimuat naik berlatarbelakangkan tumpuan nasional terhadap isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, walaupun tiada sebarang pengesahan bahawa petikan berkenaan merujuk secara langsung kepada perkembangan kes tersebut. -MalayaDailyToday






























































