KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini selepas mengalami cirit-birit, demam dan dehidrasi sejak semalam.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Penjara Kajang, Dr. Mohd. Hafiz Mohd. Hoshni berkata, bekas Perdana Menteri itu dirujuk kepada pakar di HKL kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengadu kurang sihat, loya dan sakit perut.
Menurutnya, beliau memeriksa Najib kira-kira pukul 7.15 pagi selepas pembantu perubatan memaklumkan keadaan kesihatannya.
Jelas Dr. Mohd. Hafiz, Najib kemudian mengadu beliau membuang air besar sehingga empat kali malam tadi dan selepas diberi ubat, keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri masih tiada perubahan.
“Datuk Seri Najib memberitahu beliau sakit perut dan loya. Keadaannya masih sama walaupun selepas diberi ubat. Ketika diperiksa, suhunya 37.8 darjah Celsius.
“Beliau kelihatan penat, lesu dan dehidrasi (kekurangan air) dan perlu diberi drip,” katanya dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Sehubungan itu, Hakim Collin melapangkan prosiding hari ini dan esok serta menetapkan Khamis ini bagi menyambung perbicaraan.
Mahkamah sepatutnya mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura pada sesi soal balas semalam.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalayaDailyToday
Discussion about this post