PUTRAJAYA – Penyedia perkhidmatan electronic Know Your Customer (eKYC) kini dalam proses mengemas kini sistem masing-masing susulan kesukaran pengesahan identiti yang dihadapi sebahagian pemilik MyKad generasi baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penyedia eKYC sedang giat dijalankan bagi memastikan penyesuaian reka bentuk serta ciri keselamatan kad baharu itu dapat dikenal pasti secara automatik.
“JPN telah menyediakan maklumat yang diperlukan dan sedang memantau pelaksanaan kemas kini tersebut bagi mempercepat proses penyesuaian sistem,” menurut kenyataan itu.
Sementara menunggu proses integrasi selesai, JPN menasihati pengguna yang terjejas supaya berhubung dengan institusi kewangan atau penyedia perkhidmatan berkaitan untuk menggunakan kaedah pengesahan identiti alternatif yang disediakan.
Penyelenggaraan dan penyesuaian sistem ini merupakan sebahagian daripada fasa peralihan susulan pengeluaran rasmi MyKad generasi baharu pada 17 September lalu yang menampilkan penambahbaikan struktur, teknologi, serta ciri keselamatan bagi mengelakkan pemalsuan identiti.
JPN turut menyeru agensi atau penyedia perkhidmatan eKYC yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai spesifikasi kad baharu berkenaan supaya menghubungi jabatan itu menerusi e-mel rasmi di commandset@jpn.gov.my. -MalayaDailyToday


























































