KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa terharu selepas menerima tawaran sumbangan dan sokongan moral daripada kenalan antarabangsa dari Brunei, Itali, Singapura, dan Kanada bagi membantu penyelesaian denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Rosmah berkata, rakan-rakan berkenaan telah menghubungi beliau secara peribadi bagi menyatakan hasrat membantu supaya Najib dapat kembali bersama keluarga.
“Sokongan ini menyedarkan saya tentang siapa rakan sejati yang kekal berada di sisi keluarga kami ketika menghadapi waktu sukar dan senang,” katanya dalam kenyataan.
Perkembangan itu menyusul selepas Najib diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
Dalam pada itu, Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan bagi mengumpul dana denda berkenaan dilaporkan berjaya meraih kutipan melebihi RM634,000 dalam tempoh tiga jam pertama pelancarannya. -MalayaDailyToday






























































