TRIPOLI – Sekurang-kurangnya seorang maut dan 79 lagi cedera akibat hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat di ibu negara Libya.
Media antarabangsa melaporkan banjir kilat melanda bandar Mizdah, kira-kira 165 kilometer di selatan Tripoli.
Saluran televisyen Libya, Al-Masar melaporkan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang pejalan kaki yang meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Besar Mizdah.
Hujan lebat dan banjir kilat melanda Mizdah serta kawasan lain di barat serta tengah Libya sejak Khamis lalu, sehingga menyebabkan banyak kediaman dinaiki air, selain menyebabkan beberapa jalan utama ditutup.
Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa masih sedang dijalankan.
Semalam, Kerajaan Perpaduan Nasional mengarahkan Perkhidmatan Ambulans Udara memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di perbandaran Al-Shqaiqah, kira-kira 170 kilometer di selatan Tripoli.
Malah, penduduk yang memerlukan rawatan atau pemindahan turut dibawa ke kemudahan perubatan khusus.
Kerajaan juga mengarahkan pasukan perkhidmatan kecemasan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di tengah-tengah jangkaan hujan lebat dan banjir akan berlaku di beberapa kawasan lagi.
Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk supaya menjauhi kawasan lembah, kawasan rendah serta jalan yang ditenggelami air, selain mengelakkan perjalanan yang tidak penting.
Beberapa bahagian Libya kini berdepan cuaca tidak menentu, dengan hujan lebat dan ribut petir dilaporkan berlaku di sebahagian besar kawasan.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Libya turut memberi amaran mengenai aliran air berterusan di kawasan lembah serta risiko banjir kilat di kawasan rendah.-MalayaDailyToday


























































