KUALA LUMPUR – Sambutan baik diterima daripada masyarakat terhadap MyKad generasi baharu secara tidak langsung meningkatkan tanggungjawab Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan setiap cabaran dari segi pengeluaran, sistem, aliran pelanggan dan perkhidmatan dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, sambutan dan perhatian positif masyarakat terhadap MyKad versi baharu itu juga menunjukkan rakyat mengambil berat terhadap dokumen identiti mereka.
“Kalau ada masalah pada proses, kita baiki proses. Kalau ada kesesakan, kita urus kesesakan. Kalau ada kelewatan, kita cari puncanya.
“Malah, kalau rakyat keliru, kita turun dan jelaskan. Tugas kita bukan mempertahankan masalah. Tugas kita adalah mencari penyelesaian,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook JPN hari ini.
Minggu lalu, JPN mengeluarkan MyKad generasi baharu dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini.
Jelas jabatan itu, urusan pengeluaran MyKad versi baharu itu boleh dibuat di cawangan JPN seluruh negara.
Katanya, sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan, mengeluarkan MyKad generasi baharu dengan tempoh siap pada hari yang sama.
Dalam pada itu, Badrul Hisham turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JPN yang terus bertungkus-lumus di kaunter, bahagian pengeluaran, sistem serta di belakang tabir.
“Teruskan memberikan yang terbaik kerana akhirnya rakyat menilai kita melalui perkhidmatan yang mereka terima,” katanya.-MalayaDailyToday



























































