KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai menyindir kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu hantaran media sosial berhubung ketibaannya di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18, hari ini.
Hantaran berkenaan menyusul selepas Ahmad Zahid dalam ucapannya baru-baru ini secara terbuka menyindir Anwar agar menghentikan gaya penyampaian seperti seorang “guru” dan bertindak lebih tegas sebagai pemimpin negara.
Menerusi hantaran di akaun rasminya, Anwar menggunakan terma berkenaan secara berseloroh bagi memaklumkan pembabitan beliau dalam misi diplomatik negara di New Delhi.
“Alhamdulillah, Guru telah selamat tiba di New Delhi, India bagi membawa nama negara di pentas global pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-18,” kata hantaran tersebut.

Hantaran itu turut menambah supaya “anak-anak murid” dapat belajar daripada “Guru” mengenai cara pelaksanaan Diplomasi MADANI di peringkat antarabangsa.
Kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang menyebut “Guru, cukup-cukuplah guru. Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, guru. Cukup-cukuplah. Insya-Allah, kami boleh buat lebih daripada apa yang guru buat” menarik perhatian ramai pihak, sebelum dibalas secara halus oleh Perdana Menteri menerusi kenyataan media sosial berkenaan.
Anwar kini berada di New Delhi bagi memimpin delegasi Malaysia pada sidang kemuncak berkenaan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin blok ekonomi pesat membangun. -MalayaDailyToday


































































