PARIS – Sekurang-kurangnya 44 orang cedera termasuk seorang parah selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir dari landasan di utara Perancis.
Media antarabangsa melaporkan seorang wanita berusia 18 tahun yang dalam keadaan kritikal dikejarkan ke hospital dengan menggunakan perkhidmatan helikopter.
Menteri Pengangkutan, Philippe Tabarot mengesahkan kira-kira 180 penumpang berada di dalam kereta api berkenaan semasa insiden itu berlaku.
Jelasnya, ketika kejadian, kereta api itu beroperasi antara laluan Rouen dan Caen di Normandy.
Beliau menambah seramai 140 anggota bomba dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian berhampiran kawasan Cléon di selatan Rouen pada petang Jumaat.
Dilaporkan, punca kejadian kereta api tergelincir masih dalam siasatan.
Pihak berkuasa tempatan mengaktifkan operasi penyelamatan segera selepas insiden itu yang berlaku sebelum 8 malam waktu tempatan.

Gambar tular di media sosial menunjukkan penumpang sedang keluar dari kereta api yang tergelincir dari landasan.
Berdasarkan laporan media Perancis, sebanyak tiga gerabak kereta api terbalik dalam insiden tersebut.
Pengendali kereta api milik kerajaan, SNCF mengesahkan terdapat `gangguan ketara’ pada laluan perkhidmatannya di kawasan tersebut. -MalayaDailyToday



































































