KUALA LUMPUR – Pengasas KL Sky Clinic, Dr. Roland Victor, hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Sepang daripada pertuduhan menghantar kandungan jelik berkaitan vaksin COVID-19 melalui media sosial.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Ahmad Fuad Othman yang memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Dalam penghakimannya, beliau menyatakan bahawa kandungan video yang dipersoalkan tidak membawa unsur jelik seperti yang didakwa.
“Saya tidak melihat video ini memberikan impak jelik yang memadai untuk memenuhi unsur kesalahan di bawah pertuduhan,” kata Hakim Ahmad Fuad.
Dr. Roland sebelum ini didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 7 Februari 2021 kira-kira jam 10.30 malam, menerusi laman Facebook rasmi milik kliniknya, KL Sky Clinic. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya. Selain itu, terdapat denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Kes ini telah berlangsung selama hampir empat tahun, menarik perhatian ramai kerana menyentuh isu kebebasan bersuara dalam kalangan pengamal perubatan berhubung maklumat vaksinasi dan hak masyarakat untuk mendapat maklumat yang seimbang.
Dalam satu kenyataan selepas keputusan mahkamah, Dr. Roland menyifatkan pembebasan itu sebagai kemenangan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk komuniti perubatan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Ini adalah kemenangan untuk sains, untuk kebebasan maklumat, dan untuk rakyat Malaysia yang berhak mendapatkan penerangan penuh mengenai manfaat serta risiko perubatan,” katanya.
Dr. Roland turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokongnya sepanjang tempoh perbicaraan dan menzahirkan hasrat untuk terus memperjuangkan kebebasan bersuara dalam bidang perubatan demi kepentingan awam. -MalayaDailyToday