TAPAH – Barisan Nasional (BN) meneruskan legasinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Dalam persaingan tiga penjuru, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, menewaskan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Setelah kesemua undi daripada 63 saluran di 19 pusat mengundi selesai dikira, Dr Mohamad Yusri memperoleh 11,065 undi, sekali gus mencatat majoriti 5,006 undi mengatasi Abdul Muhaimin yang meraih 6,059 undi, manakala Bawani menerima 1,106 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan peratusan keluar mengundi sehingga pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang ialah 58.07 peratus daripada keseluruhan 31,893 pengundi berdaftar.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, meninggal dunia pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022, Ishsam memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru. -MalayaDailyToday