KUALA LUMPUR – Keberanian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mempertahankan penganjuran Festival Rain Rave Water nyata membuahkan hasil apabila acara itu berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung ke Bukit Bintang malam tadi.
Walaupun sebelum ini dihujani kritikan pelbagai pihak termasuk berkaitan sensitiviti budaya dan moral, festival berkonsepkan muzik dan air itu akhirnya mencetuskan suasana luar biasa di tengah ibu kota selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan.
Tinjauan mendapati restoran, gerai makanan, premis minuman dan pelbagai perniagaan kecil sekitar Bukit Bintang menerima peningkatan pelanggan sehingga lewat malam susulan kehadiran ribuan pengunjung termasuk pelancong asing.
Malah, kawasan tumpuan pelancong itu dilihat kembali “bernyawa” dengan suasana yang jarang disaksikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi pemerhati industri pelancongan, pendekatan Tiong mempertahankan festival itu memperlihatkan beliau berani mengambil risiko politik demi membawa pendekatan lebih moden dan agresif dalam mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan urban.
Dalam era persaingan pelancongan serantau yang semakin sengit, acara berskala besar seperti Rain Rave dilihat mampu menjadi tarikan baharu khususnya kepada generasi muda dan pelancong antarabangsa yang mencari pengalaman hiburan unik di bandar raya.
Festival itu menawarkan persembahan Electronic Dance Music (EDM), pancuran air dan visual interaktif secara percuma selain dimeriahkan artis tempatan dan DJ terkenal seperti Joe Flizzow, Mimi Fly, Dolla serta De Fam.
Ia turut mengetengahkan segmen “Kids DJ Lineup” sebagai platform kepada bakat muda tempatan menonjolkan kebolehan mereka dalam industri muzik.
Apa yang lebih penting, festival itu berlangsung dalam keadaan terkawal dengan pemantauan ketat pihak berkuasa termasuk penugasan lebih 500 pegawai dan anggota polis di beberapa lokasi strategik sekitar Bukit Bintang.
Tiong sebelum ini menegaskan Rain Rave bukan “Songkran versi Malaysia” sebaliknya sebuah festival muzik bertemakan air yang dirancang secara profesional di bawah kawalan pihak berkuasa.
Beliau turut mempertahankan prinsip bahawa acara bersifat sukarela tidak sepatutnya dipolitikkan sehingga menjejaskan usaha merancakkan sektor pelancongan negara.
Hakikatnya, sambutan diterima Rain Rave memberi mesej jelas bahawa terdapat permintaan besar terhadap acara hiburan urban berskala antarabangsa di Kuala Lumpur.
Dalam konteks lebih luas, kejayaan awal festival itu juga dilihat mampu mengangkat imej Tiong sebagai menteri yang berani membawa pembaharuan dalam industri pelancongan negara walaupun terpaksa berdepan tekanan dan kritikan pelbagai pihak. -MalayaDailyToday


























































