KOTA KINABALU – Ekonomi Sabah dijangka terus berkembang positif walaupun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keyakinan itu disandarkan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri ke-17 pada November lalu, kerajaan negeri kini memberi tumpuan penuh untuk memperkukuh agenda pembangunan berasaskan pelan tersebut.
“Hala tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula tahun ini hingga 2030.
“Saya yakin ekonomi Sabah mampu terus berkembang walaupun berdepan tekanan luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sabah sempena ulang tahun kelahiran ke-75 Yang di-Pertua Negeri di Istana Seri Kinabalu semalam.

Dalam pada itu, Hajiji mengakui pergolakan geopolitik global telah menjejaskan bekalan minyak dunia dan berpotensi mencetuskan krisis tenaga yang turut dirasai di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya lebih berhemah dalam perbelanjaan serta penggunaan kenderaan harian bagi mengurangkan beban kos.
“Rakyat juga perlu berjimat cermat dalam penggunaan air berikutan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda fenomena El-Nino yang boleh menyebabkan kemarau panjang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka serta mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan negeri kini giat meneroka potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu baharu pertumbuhan di bawah SMJ 2.0, memanfaatkan kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah.
Katanya, inisiatif itu merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, termasuk penggunaan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.
Selain itu, usaha tersebut turut melibatkan perlindungan kawasan pesisir, bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru bagi meningkatkan nilai ekonomi.
“Penerokaan Ekonomi Biru ini dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar.
Menurutnya, projek melibatkan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan akan dipantau rapi agar menepati jadual ditetapkan.
Hajiji turut menyeru semua pihak termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk terus memperkukuh komitmen dalam memacu kemajuan Sabah.
“Kita perlu terus berganding bahu demi memastikan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. -MalayaDailyToday






























































