KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelancong susulan beberapa insiden kemalangan yang menjejaskan imej negara tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata aspek keselamatan mesti sentiasa menjadi keutamaan walaupun industri pelancongan kekal sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara jenama kenderaan komersial tempatan, CAM dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), semalam.
Menurutnya, kehadiran beberapa bas mini serta kenderaan pelancongan moden yang dinaik taraf pada majlis itu menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh kualiti pengangkutan pelancongan negara.
“Perkembangan ini amat menggalakkan dan saya berharap CAM akan terus memperkenalkan teknologi baharu serta menetapkan piawaian lebih tinggi demi memartabatkan industri pelancongan negara,” katanya.
Tiong menegaskan kejayaan sektor pelancongan tidak boleh dinilai berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata tanpa mengambil kira faktor keselamatan dan pengalaman pelawat.
“Pelancong yang datang ke Malaysia sepatutnya menikmati pengalaman yang selamat dan menyeronokkan, bukan pulang dengan rasa bimbang. Kita perlu berani berdepan dengan isu yang ada, meningkatkan standard dan tidak sesekali berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi menyelaraskan urusan kelulusan lesen serta pengurusan bas pelancongan di bawah satu kementerian.
Langkah itu, katanya, bertujuan memperkukuh mekanisme pemantauan, meningkatkan kecekapan tadbir urus serta memastikan tahap keselamatan yang konsisten dalam industri pengangkutan pelancongan.
Dalam pada itu, Tiong berkata kementerian turut mengambil perhatian terhadap isu bas bersaiz besar yang tidak memenuhi keupayaan ketika melalui jalan berbukit sehingga menimbulkan risiko keselamatan.
Beliau menjelaskan beban bagasi berlebihan serta penggunaan enjin lama boleh meningkatkan potensi kemalangan, justeru cadangan sedang diteliti untuk memperketat piawaian prestasi kenderaan dan menetapkan tempoh penggunaan bas pelancongan antara lima hingga 10 tahun.
Mengulas kebimbangan pengusaha mengenai kos, beliau berkata kerajaan sedang meneliti beberapa bentuk bantuan termasuk pelepasan cukai, kemudahan jaminan bank bagi mengurangkan kos pembiayaan serta sokongan untuk pembelian bas baharu.

“Perkara ini berada pada peringkat akhir perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan memandang serius isu pelanggaran kontrak dan ketidakpatuhan pelaksanaan pakej pelancongan, termasuk kemungkinan mewajibkan jaminan bank bagi melindungi kepentingan pengguna.
Tiong berkata mana-mana pengusaha yang melanggar peraturan boleh ditarik balik lesen serta disenaraihitamkan daripada membuat permohonan baharu.
“Hanya melalui kerjasama erat antara kerajaan dan pengusaha dalam mempertahankan prinsip keselamatan serta integriti, industri pelancongan Malaysia mampu berkembang secara mampan dan terus melangkah maju,” katanya. -MalayaDailyToday


































































