September 14, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH #UTAMA

Lagi penipuan pelaburan forex, MHO terima lebih 400 aduan

Kuala Lumpur – Mengejutkan apabila sebuah syarikat menawarkan skim pelaburan perdagangan berjaya memperdayakan lebih 400 pelabur sambil mengaut keuntungan lebih RM100 juta.

Malah ada individu yang kerugian lebih RM1 juta begitu sahaja selepas tertipu dengan tawaran-tawaran pelaburan oleh sindiket ini kononnya berpangkan di luar negara.

Semua mangsa bertindak membuat laporan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Mengesahkan pihaknya menerima 400 aduan daripada pengadu-pengadu berkenaan skim pelaburan perdagangan yang ditawarkan oleh sebuah syarikat, kata Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para pengadu berkenaan adalah sebanyak RM100 juta.

“Konsep dan modus operandi ini melibatkan sebuah syarikat yang mana telah dilantik sebagai broker pelaburan dan broker tersebut merupakan pihak yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.

“Selepas mendengar penerangan dan representasi mengenai skim pelaburan yang diberikan oleh ketua pemasaran syarikat tersebut, para pengadu telah tertarik dan berminat untuk menyertai skim pelaburan perdagangan mata wang forex,” katanya.

MHO dalam kenyataan itu juga mengesyaki tawaran skim pelaburan berkenaan tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat-syarikat tersebut tidak mematuhi undang-undang kerajaan Malaysia.

“Selain itu juga, terdapat bank-bank di Malaysia yang disyaki digunakan sebagai medium untuk menghantar wang ke luar negara di mana para pengadu telah didorong untuk melabur di dalam skim pelaburan tersebut.

“Tambahan pula, dalang-dalang ini yang masih aktif giat mempromosikan skim pelaburan mata wang forex ini di Malaysia,” katanya lagi.

Bagaimanapun MHO mahu semua pihak sedar dan lebih cakna berkenaan modus operandi, cara penipuan dan pemerdayaan supaya tidak tertipu dengan tawaran syarikat tidak bertanggungjawab.

Hishamuddin juga menggesa pihak berwajib menyiasat syarikat ini yang masih lagi aktif selain membawa setiap individu bertanggungjawab ini ke muka pengadilan. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday