September 14, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

SPRM tahan reman seorang Pegawai Kanan agensi berkaitan kerajaan kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu bernilai kira-kira RM15,000

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini telah menahan reman seorang pegawai kanan sebuah agensi berkaitan kerajaan kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran mantan palsu yang bernilai kira-kira RM15,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga 24 Ogos 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Shah Alam, Selangor, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an telah ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2023.

“Suspek dipercayai mengemukakan sebut harga, nota penghantaran, invois dan resit bayaran tunai dari sebuah syarikat, sedangkan pembekalan dan perolehan tidak pernah dilaksanakan syarikat terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday