October 18, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Juruhias hidup mewah dengan duit dadah

Kuala Lumpur – Kehidupan mewah seorang juruhias akhirnya terbongkar apabila sebenarnya hidup dengan menjadi tokan dadah selepas ditahan polis di sekitar Cheras baru-baru ini.

Polis juga berjaya menemukan dadah jenis kanabis dan erimin 5 yang bernilai RM77,947 bersama suspek berusia 40 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, tangkapan  dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Cheras kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kata beliau, suspek aktif mengedar dadah di sekitar daerah Cheras sejak awal tahun ini dipercayai turut menjadikan kondominium mewah yang dikawal pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.

“Suspek ditahan bersama kanabis seberat 22.675 kilogram (kg) dan 0.027 kg erimin 5. Kita juga dapati suspek didapati positif dadah benzo. Kita merampas wang tunai RM3,000 dan sebuah kereta Honda Insight,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, dari tangkapan pertama, satu lagi serbuan di sebuah kondominium di sekitar Kajang, Selangor sebelum menemukan 4.29 kg dadah jenis kanabis.

Polis merampas dua buah kenderaan jenis Toyota Alphard dan sebuah Mini Cooper yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM 80, 947.

“Kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah adalah untuk mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Bekalan dipercayai diperolehi daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek yang bekerja sendiri turut menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama. -MalayaDailyToday

Photo Credit: Ihsan IPD Cheras

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *