Kuala Lumpur – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini tampil melahirkan keyakinannya terhadap Skim Gerak Insan Gemilang (GIG) yang dikendalikan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebagai telus dan bebas daripada unsur-unsur salah guna kuasa.
Kata Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, ini kerana pihaknya dimaklumkan bahawa perkara tersebut telah diangkat kepada pihak Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) dan Kementerian Kewangan (MoF) melalui mesyuarat Laporan Kemajuan HRD Corp bertarikh 20 Mei 2022.
“Kesemua data peserta telah dihantar kepada Laksana dan MoF. Saya yakin ia telah melalui proses semakan dan tapisan yang teliti oleh pihak yang berkaitan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa mesyuarat Lembaga Pengarah HRD CORP bersetuju dan mengambil maklum berkenaan peserta mengikuti lebih daripada sekali latihan,” katanya hari ini.
Untuk makluman, skim GIG bertujuan memudahkan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dengan kemahiran dan pengetahuan khusus melalui latihan menyeluruh yang membolehkan mereka menjadi pekerja bebas dengan pendapatan yang lebih baik. -MalayaDailyToday
Discussion about this post