September 4, 2024
#BERITA #GLOBAL

‘Berita tidak baik’, Presiden Iran meninggal dunia selepas helikopter terhempas

TEHRAN – Presiden Iran, Ebrahim Raisi disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Agensi berita Iran melaporkan, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui ‘terbakar sepenuhnya’. Ketua Bulan Sabit Merah Iran berkata, helikopter membawa Ebrahim Raisi, telah ditemui tetapi keadaannya ‘tidak baik’.

“Helikopter itu telah ditemui. Sekarang, kami bergerak ke arah helikopter.

“Nampak seperti berita tidak baik,”kata Pirhossein Koolivand.

Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang di dalam helikopter itu, termasuk Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian terkorban dalam nahas itu.

Difahamkan, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika pemimpin itu dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday