October 18, 2024
#UTAMA

Jangan cuba bawa isu kaum dalam penurunan pangkat bekas KP Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR – Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ada pihak cuba menggunakan ‘isu perkauman’ untuk terus membakar sentimen dalam kalangan rakyat dalam kontroversi penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Hakikatnya, turun naik pangkat dalam sektor awam bukan perkara baharu, malah ia adalah lumrah jika individu yang dilantik gagal mencapai sasaran ditetapkan organisasi.

Tetapi memandangkan ada pihak cuba menangguk di air keruh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Tiong King Sing berterusan dikritik kerana kelantangannya menangani isu dengan cara berani.

Menurut laporan portal berita Getaran, seorang sumber kementerian memberitahu, tindakan diambil ke atas mantan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berlatarkan faktor yang kukuh.

Menurut beliau, tindakan itu tidak dibuat secara semberono, jauh sekali berlandaskan tiket tertentu, khususnya perkauman seperti tanggapan pelbagai pihak ketika ini.

“Before anything, awak kena tahu kenapa tindakan (penurunan pangkat) diambil ke atas Ammar. Ia bukan kerana menteri kita rasis, atau kerana beliau mahu membawa masuk ‘kem’ sendiri. Semua pihak dalam MOTAC tahu (bagaimana) prestasi Dr Ammar. Beliau tidak sepatutnya play victim,” katanya.

Jelas sumber,  Datuk Seri Tiong King Sing selaku menteri sememangnya tegas dalam mengemudi MOTAC, semata-mata untuk memastikan kementerian berkenaan berjaya menepati tanda aras disasarkan, iaitu antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

 Tambah beliau, King Sing juga tidak gentar bersuara jika ada perkara yang dilihatnya tersasar dari landasan digariskan.

“Macam ada pihak persoalkan langkah MOTAC mahu menarik lebih ramai pelancong dari China. Mengapa tidak? Awak tahu berapa juta pelancong China datang ke Malaysia setiap tahun? 

“Kedatangan mereka bererti sumbangan kepada ekonomi negara. Memang kementerian menyedari ada loop hole yang perlu kita perbaiki termasuk dari aspek undang-undang. Itu yang Menteri dan pasukan di kementerian sedang cuba atasi,” katanya.

Sumber memberitahu, Ammar sebenarnya boleh dikenakan tindakan tatatertib apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Kenapa dia kata dia dipecat sedangkan jelas dan nyata dia cuma diturunkan pangkat? Kenapa perlu burukkan kementerian?

“Dr Ammar sendiri tahu kenapa tindakan ini diambil. Kami tak faham mengapa beliau ‘memadamkan’ fakta ini. Kenapa tidak beritahu sahaja yang prestasinya tidak memuaskan,” katanya, kesal.

King Sing sebelum ini dipetik sebagai berkata, tindakan menurunkan pangkat Ammar dibuat selepas beliau gagal menunjukkan prestasi memuaskan walaupun selepas setahun.

“Pelbagai nasihat berhubung prestasi kerja diberikan termasuklah oleh timbalan, Khairul Firdaus Akbar Khan. Ini bukan isu rasis atau soal pecat memecat. Saya bersama timbalan sudah banyak kali bagi peluang dan juga nasihat kepada Dr Ammar.

“Kita beri nasihat apakah yang perlu dilakukan secara terbaik bagi bantu menaikkan industri pelancongan negara kita. Tapi saya tidak tahu dia (Dr Ammar) tidak ada idea atau hendak buat bagaimana.

Jika tidak boleh perform, saya tidak ada pilihan tetapi buat pertukaran. Bukan pecat tapi turun pangkat sahaja. Memang dari dulu, bila bekas KP sudah pençen nama Dr Ammar bukan di rank pertama pun,” katanya, seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Sumber menarik perhatian, Ammar bukan sekadar berdepan masalah prestasi, tetapi beliau juga mencetuskan pelbagai isu dengan Tourism Malaysia di peringkat negeri.

“Banyak aduan kami terima sebenarnya daripada Tourism Malaysia negeri tapi beliau masih diberi peluang.

“Untuk pihak di luar sana, cukuplah ambil kesempatan burukkan kementerian. Kami lebih tahu isu dan hal ehwal dalaman tempat sendiri berbanding awak semua,” katanya, keras.

Hari ini, Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa bagi Rantau Asia dan Afrika, Manoharan Periasamy telah dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu menggantikan Ammar. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *