KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan tular kononnya ada pesakit dalam kalangan pesara dan penjawat awam yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dikeluarkan dari pusat perubatan itu.
Sebaliknya ada dakwaan golongan itu dirujuk ke pusat jantung berhampiran dengan tempat tinggal mereka untuk mengurangkan kos.
Bagaimanapun kata KKM, pesakit hanya akan dikeluarkan dari IJN andai keadaan mereka stabil.
“Pesakit yang stabil ini kemudian kembali ke hospital kerajaan untuk penjagaan lanjut bawah Jabatan Kardiologi dan Kardiotorasik. Tempoh pemantauan sekurangnya enam bulan hingga setahun bagi dewasa dan setahun hingga dua tahun bagi kanak-kanak.
“Pendekatan strategik ini membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, sekali gus meningkatkan keberkesanan kos,” katanya dalam kenyataan.
KKM menjawab satu surat disiarkan di portal kesihatan Code Blue semalam dakwaan seorang pesara yang terkejut kerana dimaklumkan akan dikeluarkan dari IJN walaupun menerima rawatan lanjut selama 25 tahun.
Pesara itu berkata beliau dimaklumkan IJN mengikut arahan KKM dan dimaklumkan IJN tiada pilihan memandangkan kerajaan sedang mengurangkan kos. -MalayaDailyToday
Discussion about this post