September 5, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Bayi minum susu ‘syabu’ semakin sihat

KUALA LUMPUR – Bayi empat bulan yang diberi minum susu dibancuh syabu oleh ibunya semakin sihat dan dibenarkan keluar hospital.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pemeriksaan kesihatan mendapati bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu sihat.

“Bayi sudah discaj dari Hospital Kajang pada Khamis lalu dan kini dalam jagaan neneknya. Keadaan bayi sudah sihat,” katanya hari ini kepada media.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan laporan pasangan suami isteri yang sedang khayal dadah diberkas polis di flat didiami di Taman Medan, di sini, Isnin lalu selepas tersilap membancuh susu bayi mereka menggunakan cecair dadah syabu.

Bayi lelaki itu dihantar suami isteri berkenaan kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.

Ketika dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal lalu wanita itu bertanya kepada ibu mangsa yang mengakui tersilap membancuh susu bayi menggunakan air syabu milik suaminya.

Susulan itu, polis menahan suami isteri berusia 34 dan 40 tahun bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday