September 6, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Tahap kesihatan mental pegawai polis wanita yang viral akan dinilai

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan menerima satu laporan polis terhadap seorang pegawai polis wanita yang dipercayai terbabit mencetuskan pertengkaran di tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di ibu negara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata selain tindakan tata tertib, siasatan itu juga membabitkan penilaian mental pegawai wanita itu.

“Kes ini sudah dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengaibkan kehormatan orang) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Selain itu, polis dalam tindakan untuk mengenakan tindakan tatatertib ke atas pegawai polis terbabit selain menjalankan penilaian kesihatan mental terhadapnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sambung beliau, pihaknya juga akan mengesan penularan satu rakaman video berkait insiden itu, semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 5.26 petang kelmarin di tempat letak kereta sebuah pusat beli belah dalam daerah Brickfields. Selisih faham itu berlaku apabila pegawai berkenaan ingin meletakkan kenderaan di sebelah kenderaan pengadu tetapi pintu kenderaan pengadu di sebelah pemandu dan penumpang belakang, terbuka.

“Pengadu menyatakan neneknya sedang menukar lampin pakai buang anak saudara ketika itu namun suspek tidak berpuas hati sambil menekan hon kenderaan selain dilihat menjerit dan memarahi pengadu serta ahli keluarganya,” dedah beliau.

Dalam video viral itu suspek dilihat turut memperlekeh pakaian pengadu yang kelihatan seksi dan turut membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *