KUALA LUMPUR – Masyarakat India di negara ini tidak perlu khuatir atau bimbang spekulasi kononnya akan ada penutupan sekolah-sekolah Tamil yang kekurangan murid seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah memberikan cadangan untuk menutup mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang kekurangan murid sehingga bawah 15 orang ketika ini.
Sebaliknya beliau sebagai pemimpin nombor satu negara memberikan beberapa cadangan penting dan bernas bagi memastikan tahap dan kualiti pendidikan murid-murid SJKT akan terus terpelihara.
Menurut Ahli Dewan Negara, Datuk R Nelson, cadangan Perdana Menteri yang mahu mencari mekanisme membantu menyelesaikan isu kekurangan murid sebenarnya telah disalah tafsir segelintir pihak.
“Beliau hanya melahirkan kebimbangannya bagaimanakah sekolah kekurangan murid, ada antaranya kurang daripada 15 murid ini akan beroperasi dengan efektif dengan satu persekitaran kondusif serta kemudahan baik.
“Kerana itu juga beliau memberikan cadangan supaya murid-murid ini dihantar ke sekolah yang bilangan pelajarnya lebih ramai, kemudahan lebih bagus, ada pengangkutan baik. Ini juga untuk kebaikan serta masa depan murid-murid kita.
“Dengan sertai sekolah yang lebih ramai muridnya, kemungkinan besar murid-murid SJKT ini akan mendapat taraf pendidikan lebih baik.
“Perdana Menteri langsung tidak menyebut akan menutup sekolah-sekolah yang kekurangan pelajar, langsung tidak ada,” katanya.
Anwar ketika berucap di Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini Sabtu lepas, beliau ada membangkitkan beberapa isu yang ketika ini membelenggu masyarakat India termasuklah isu kekurangan murid di segelintir SJKT luar bandar.
Ketika itu beliau juga bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta, bagi tujuan membiayai kerja-kerja membaikpulih kemudahan di SJKT, RM20 juta diperuntukan kepada Sekolah Tamil di bawah kerajaan sementara RM10 juta untuk membantu hal berkaitan perolahan tanah untuk pembinaan SJKT.
Beliau turut mengarahkan agar Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian supaya segera memulakan projek untuk membaiki dan penyelenggaran kemudahan asas di sekolah terkesan.
Dalam pada itu, kata Nelson adalah tidak adil untuk terus ‘menghakimi’ Anwar kononnya beliau mahu menutup segelintir sekolah sebaliknya perlu menghargai komitmen beliau yang mahu membantu SJKT.
“Kita perlu bersikap adil dalam isu, beliau (PM) telah tampil memberikan peruntukan tambahan untuk terus membantu menaiktaraf pendidikan buat SJKT.
“Beliau mahu kita bersama-sama beliau mencari jalan penyelesaian yang dengan fokus utamanya adalah anak-anak kita serta masa depan mereka,”katanya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post