September 3, 2024
#BERITA

PAU 2023: Pelancaran Logo HAWA meriah, fokus isu wanita dan keluarga

KUALA LUMPUR – Pelancaran logo rasmi Majlis Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga (HAWA) di WTC di sini oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berlangsung dengan meriah pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, tulang belakang HAWA yang juga Ahli Majlis Tertinggi dan Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bersama-sama pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta perwakilan.

Shahrizat dalam kenyataan selepas pelancaran itu memaklumkan, HAWA telah diiberi mandat untuk menjadikan cabaran serta isu berkaitan wanita dan keluarga sebagai fokus utama.

HAWA akan bergerak di peringkat pusat yang pada masa ini berpusat kepada 7 sektor sasaran dan disokong oleh wakil HAWA di setiap negeri.

“Aspirasi HAWA didokong dengan komposisi Majlis HAWA yang inklusif dan berbilang bangsa. Paling utama, dalam memperjuangkan kepentingan wanita, HAWA akan melipatgandakan keterlibatan kaum bapa kerana ia penting dalam usaha kolektif kami ke arah masa depan negara yang lebih baik.

“Untuk makluman, HAWA membawa tekad sebagai penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam dan pakar rujuk dari bidang profesional serta akademik untuk menentukan hala tuju kami.

“Ini merupakan satu kerjasama pintar yang melangkaui sempadan politik kepartian,” katanya.

Kata mantan Ketua Wanita UMNO Malaysia itu lagi, hala tuju HAWA akan ditentu ukur berdasarkan realiti kehidupan rakyat dan maklum balas sebenar daripada pelbagai pihak.

“Inilah politik masa depan yang HAWA ingin ketengahkan. Ketika ini, kita sedar UMNO berada di tempat dan keadaan yang amat berbeza dari dahulu. Perubahan yang berlaku dalam politik negara menuntut UMNO untuk juga berubah.

“Cara kita berjuang dan membela nasib rakyat serta menentukan negara membangun mesti berubah jika UMNO mahu kekal relevan. Mendakap perubahan memerlukan keberanian, berani untuk bertindak dengan cara baharu dan berani untuk berganjak dari keselesaan terdahulu.

“HAWA menyahut cabaran yang diberikan kepada kami oleh YAB Presiden UMNO untuk membawa perubahan melalui isu isu Wanita dan Keluarga.

“Perubahan ini akan bermula dengan HAWA dan kami bersedia untuk menggalas cabaran ini kerana kita mesti berani untuk masa depan,” ujarnya dengan penuh semangat.

HAWA ditubuhkan pada 22 Mac selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama pasca-Pemilihan UMNO 2023. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *