KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tiada masalah untuk mengisytihar harta.
Jelas negarawan itu, dirinya tidak pernah ada apa-apa yang perlu disorokkan.
Sebaliknya kata beliau, menjadi masalah adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali menuduhnya salah guna kedudukan semasa menjadi Perdana Menteri untuk kayakan diri dan keluarga.
“Saya juga dituduh memiliki wang berbilion ringgit, kapal terbang dan kapal. Kononnya semua orang tahu. Saya kata tunjuk bukti saya salah guna kuasa untuk kayakan diri dan keluarga. Kalau tidak, saya akan ambil tindakan mahkamah.
“Saya telah ambil tindakan mahkamah dan sehingga hari ini dia tidak pernah tunjuk bukti selain ke sana ke mari buat tuduhan terhadap saya,” katanya dalam Facebook beliau.
Tun Mahathir mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri itu sebelum ini. -MalayaDailyToday
Discussion about this post