September 7, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Mahkamah Tinggi KL bebaskan adik beradik syarikat minyak buat tuntutan palsu

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat ketetapan untuk melepas dan membebaskan pemilik syarikat pembungkusan minyak masak subsidi, Datuk Mohd Farid Mohamad Ali atas dakwaan 52 pertuduhan tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit sekitar tahun 2020.

Selain Mohd Farid, adiknya yang juga berdepan dengan dakwaan itu turut dibebaskan mahkamah tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit berjumlah lebih RM1.5 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian setelah difahamkan pendakwaan juga tidak mempunyai bantahan permohonan demikian.

“Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua pemohon. Oleh itu, mereka dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” katanya pada prosiding hari ini.

Ketika prosiding, peguam Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili kedua-duanya memohon agar dua beradik itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi berkata, oleh kerana kedua-dua pemohon telah menjelaskan kompaun pihaknya tidak membantah permohonan tersebut.

Pada Jun 2022, Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh daripada kesemua pertuduhan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Mohd Farid dan adiknya kemudian memohon di Mahkamah Tinggi supaya mereka dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-52, Mohd. Farid didakwa memberikan suatu dokumen iaitu Penyata Tuntutan Bayaran Bantuan Kewangan Kepada Kilang Penapis/Pembungkus Minyak Masak Sawit Tulen yang mengandungi butiran matan palsu.

Butiran palsu itu didakwa bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020 berjumlah RM1,596,341.40 kepada tiga orang kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Butiran itu berkaitan maklumat penjualan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang mana tertuduh tahu bahawa penjualan minyak masak itu sebenarnya tidak dibuat. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *