SEREMBAN – Datuk Ismail Lasim perlu menunjukkan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan adalah tidak tepat dan tidak berdasarkan fakta untuk mengatakan bahawa Istana mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar memandangkan beliau sendiri menegaskan tidak meletakkan jawatan.
Malah, katanya, persoalan itu tidak timbul kerana ADUN Juasseh itu menegaskan tidak meletakkan jawatan.
Menurutnya, pihak Istana akan mematuhi sepenuhnya konvensyen dan peruntukan perlembagaan.
“Istana Negeri Sembilan merujuk kenyataan bertarikh 17 November lalu berhubung surat peletakan jawatan bertarikh 16 November 2026 yang dihantar ke Istana Hinggap, serta laporan media hari ini.
“Sebagaimana dimaklumkan dalam kenyataan tersebut, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan pihak Istana belum mengesahkan surat tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, dalam majlis menghadap baginda pada pagi Jumaat, yang turut dihadiri oleh Dato’-Dato’ Undang, Ismail telah menyatakan bahawa beliau tidak mengemukakan surat tersebut dan tidak bersetuju surat itu dikemukakan.
“Beliau telah menyatakan perkara yang sama dalam sidang media hari ini,” katanya.
Selain itu, Pengelola Bijaya Diraja berkata, Ismail juga perlu mengemukakan senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan Tuanku Muhriz.
“Setelah perkara ini disempurnakan, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri akan ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Ke Bawah Duli Tuanku berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,”katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ismail dalam sidang akhbar berkata, Tuanku Muhriz telah menitahkan beliau untuk terus menjalankan tugasnya, bagi memastikan kelangsungan dalam pentadbiran negeri.
Ismail juga menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan Ismail telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Katanya, salinan surat peletakan jawatan Ismail diterima oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada keesokan hari, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Perlembagaan Negeri.-MalayaDailyToday























































