KUALA LUMPUR – Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan menerusi surat peletakan jawatan bertarikh hari ini yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, salinan surat peletakan jawatan Ismail telah diterima oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Ia selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zambry, BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar.
“Sehubungan itu, BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Ismail Lasim sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.-MalayaDailyToday


























































