IPOH – Polis mengesahkan kejadian sebuah kapal besar dipercayai merempuh kawasan tebing berhampiran laluan pejalan kaki di Esplanade Wing di sini.
Insiden berkenaan tular di laman sosial Thread sejak pagi tadi.
Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Rakaman video berkaitan insiden memaparkan pergerakan kapal terbabit berada terlalu hampir dengan kawasan daratan sehingga mengakibatkan sebahagian struktur tebing rosak dan pecah.
Seorang pengguna Threads menggunakan akaun @mashitahbtbasir mendakwa, beliau yang berada di lokasi sebelum kejadian mendapati kapal berkenaan secara tiba-tiba bergerak laju tanpa berhenti sebelum merempuh tebing tersebut.
“Tengah lepak (bersantai) di Lumut, tiba-tiba kapal laju tak berhenti. Terkejut kami awat (kenapa) tak berhenti kapal ini, tiba-tiba terlanggar habis, bunyi kuat,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik itu.
Pengguna Threads lain antaranya @zhoushieng_aman dan @irra.izzurin turut berkongsi rakaman video serta gambar kejadian berkenaan.-MalayaDailyToday


























































