LONDON – Tabiat menghisap rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan kerosakan kekal pada paru-paru golongan muda, sekali gus meletakkan mereka pada risiko menghidap penyakit paru-paru membawa maut pada masa hadapan.
Daily Mail melaporkan sekumpulan penyelidik mendapati golongan dewasa muda yang menghisap vape mengalami penurunan fungsi paru-paru yang ketara dalam tempoh hanya 12 bulan, dengan pengguna tegar menunjukkan kesan kemerosotan lebih buruk.
Mereka bimbang kerosakan itu boleh terkumpul selama bertahun-tahun dan meningkatkan risiko penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) iaitu penyakit tidak boleh diubati yang menyukarkan pernafasan serta meragut kira-kira 30,000 nyawa rakyat Britain setiap tahun.
Penyakit yang kebiasaannya dikaitkan dengan tabiat merokok selama berdekad-dekad itu berlaku apabila kerosakan pada paru-paru menyukarkan udara dihembus keluar.
Terbaharu, saintis di Universiti Antarabangsa Florida menemukan bukti awal bahawa penggunaan vape boleh menyumbang kepada masalah sama.
Mereka menguji fungsi paru-paru 22 penghisap vape berusia antara 21 hingga 35 tahun dengan mengukur jumlah udara yang mampu dihembus keluar secara paksa dalam tempoh satu saat.
Apabila ujian sama diulangi kira-kira setahun kemudian, penyelidik mendapati jumlah udara yang mampu dihembus menurun dengan ketara.
Golongan yang paling kerap menghisap vape cenderung menunjukkan penurunan paling besar, namun penyelidik tidak dapat memastikan sama ada perkara itu berlaku secara kebetulan atau sebaliknya.
Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Tobacco Control itu masih di peringkat awal dan saintis menegaskan kajian berskala lebih besar diperlukan bagi mengesahkan sama ada vape menyebabkan kerosakan kekal atau meningkatkan risiko COPD.
Menurut badan kebajikan Asthma + Lung UK, COPD menjejaskan kira-kira 1.7 juta penduduk Britain, manakala dianggarkan 600,000 individu lagi menghidap penyakit itu tanpa menyedarinya.
Penyakit tersebut berlaku apabila saluran pernafasan rosak dan menyempit sehingga menyukarkan pernafasan, dengan gejala awal merangkumi batuk berpanjangan, kahak serta sesak nafas yang semakin teruk sehingga menjejaskan aktiviti harian.
Merokok kekal sebagai punca utama COPD, walaupun pendedahan jangka panjang terhadap pencemaran udara dan bahan berbahaya lain turut menyumbang kepada penyakit itu.
Walaupun COPD lazimnya dikaitkan dengan perokok berusia, penyelidikan menunjukkan tanda-tanda awal penyakit berkenaan boleh muncul pada usia jauh lebih muda.
Satu kajian besar di Eropah melibatkan hampir 50,000 individu mendapati sehingga lapan peratus golongan dewasa berusia 20-an dan 30-an menunjukkan tanda aliran udara terhad yang merupakan ciri utama COPD.
Lebih membimbangkan, masalah itu turut dikesan dalam kalangan individu yang tidak pernah merokok, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai faktor lain yang merosakkan paru-paru golongan muda.
Dalam kajian terbaharu itu, penyelidik menemukan petunjuk bahawa semakin kerap seseorang menghisap vape, semakin teruk kemerosotan fungsi paru-paru mereka, khususnya bagi individu yang menggunakannya 30 kali atau lebih sehari.
Bagaimanapun, memandangkan kajian terbabit hanya melibatkan 22 peserta, penyelidik tidak menolak kemungkinan kaitan antara penggunaan vape secara kerap dan kerosakan lebih teruk itu berlaku secara kebetulan.
Namun, saintis tetap memberi amaran bahawa pendedahan berulang terhadap rokok elektronik berpotensi menyebabkan kerosakan yang terkumpul dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, pakar perunding Perubatan Respiratori di OneWelbeck serta Hospital Guy’s dan St Thomas di London, Dr. Aran Singanayagam berkata, semakin banyak bukti baharu menunjukkan penggunaan vape boleh memudaratkan tubuh badan.
“Jika anda kerap menyedut bahan kimia, agak jelas ia boleh mencetuskan keradangan dan berpotensi mengakibatkan kerosakan kekal.
“Tidak banyak yang boleh dilakukan doktor untuk merawat COPD, jadi penyakit ini mesti dielakkan sedaya upaya,” katanya.
Penggunaan vape secara meluas dianggap kurang berbahaya berbanding rokok konvensional kerana tidak menghasilkan tar atau karbon monoksida yang terdapat dalam asap tembakau, malah pernah dicadangkan kerajaan Konservatif terdahulu pada 2023 untuk diagihkan secara percuma kepada sejuta perokok bagi membantu mereka berhenti merokok.
Namun, wap rokok elektronik masih mengandungi bahan kimia berpotensi berbahaya dan pakar bimbang terhadap kesan penyedutannya dalam jangka masa panjang, selain kajian terdahulu mendapati ia boleh melemahkan pertahanan paru-paru daripada jangkitan.
Kebimbangan turut tertumpu kepada peningkatan populariti vape dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, dengan penyelidikan menunjukkan hampir sejuta golongan berusia 11 hingga 17 tahun pernah mencubanya, manakala semakan yang diterbitkan pada Ogos lalu mendapati ia berisiko menjadi pintu masuk kepada tabiat merokok.-MalayaDailyToday























































