KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Bernama melaporkan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mencatatkan jumlah calon paling ramai kehilangan wang deposit apabila 15 daripada 16 calon yang bertanding atas tiket parti itu gagal memperoleh undi minimum ditetapkan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut gagal mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila lima daripada tujuh calonnya kehilangan wang deposit, manakala Pakatan Harapan (PH) menyaksikan dua daripada 24 calon berdepan nasib sama.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang meletakkan calon tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek serta tiga calon Bebas tewas dan hilang wang deposit di kawasan ditandingi.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin di DUN Sungai Udang menang dengan majoriti tertinggi, iaitu 16,214 undi.
Beliau menewaskan calon Bersatu dan Bersama yang masing-masing mendapat 2,103 serta 1,322 undi.
DUN Sungai Udang turut menjadi antara kerusi tumpuan PRN Melaka kali ini, yang menyaksikan sebanyak 22,195 daripada 29,692 pengundi berdaftar keluar mengundi.
Dalam perkembangan sama, calon BN, Datuk Ngwe Hee Sem, yang memperoleh 6,686 undi, mencatatkan majoriti terendah selepas menang dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Machap Jaya membabitkan calon PH Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Prasanth Kumar Brakasam daripada Bersama.
Kerusi DUN Machap Jaya disandang Ngwe yang menang dengan majoriti 938 pada PRN Melaka 2021.-MalayaDailyToday

























































