JASIN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.
Media melaporkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, sasaran itu disifatkan sebagai kadar yang baik memandangkan pilihan raya kali ini melibatkan peringkat negeri dan bukannya pilihan raya kecil (PRK).
Menurutnya, SPR berharap sambutan pemilih terhadap proses demokrasi kali ini menggalakkan dengan seramai mungkin pengundi hadir ke pusat mengundi.
“Kita harap 70 peratus. Selalunya jadi macam itulah. Tambahan lagi ini satu PRN, negeri, bukan PRK. Jadi kita harap rakyat berminat untuk datang dan mengundi.
“Harap-harap seramai mungkin, tetapi selalunya kita rasa 70 peratus itu satu angka yang baik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan logistik dan bahan pilihan raya di Dewan Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azmi menasihatkan pengundi supaya keluar lebih awal ke pusat mengundi susulan ramalan cuaca kemungkinan hujan pada hari pengundian.
Katanya, orang ramai disaran membawa payung sebagai persediaan menghadapi cuaca tidak menentu dan tidak menjadikan faktor hujan sebagai alasan untuk tidak mengundi.
“Kalau boleh datang awal, tetapi kalau hujan, bawa payung. Bukan susah sangat, mari mengundi walaupun hujan. Apa pun berlaku, datang mengundi,” katanya.
Mengulas persiapan SPR, Azmi memaklumkan proses penyediaan peti undi dan kelengkapan pilihan raya sedang dimuktamadkan bagi memastikan kelancaran tugas petugas pilihan raya.
Katanya, petugas pilihan raya turut diberikan taklimat dan diperkenalkan kepada anggota polis yang akan mengiringi serta membantu pergerakan mereka sepanjang proses pengundian diadakan.
Azmi turut mengingatkan semua calon, penyokong dan jentera parti supaya menghentikan segala aktiviti berkempen tepat pukul 11.59 malam ini, termasuk di platform media sosial.
Dilaporkan, sebanyak 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran akan dibuka bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Melaka kali ini.
Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (23), Parti Bersama Malaysia (Bersama) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), calon Bebas (tiga) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (satu).-MalayaDailyToday






















































