KUALA LUMPUR – Majlis Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini semalam bagi mencabar keputusan berkaitan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Permohonan yang difailkan menerusi firma guaman Tetuan Amir & Rajpal Ghai itu menamakan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai responden pertama, diikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, serta Najib sebagai responden kedua hingga keempat.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Majlis Peguam menuntut kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan deklarasi bagi membatalkan prosiding, keputusan dan aturan tahanan rumah yang diberikan kepada Najib, pada 18 September lalu.
Badan guaman itu memohon aturan tahanan rumah yang dilaporkan berkenaan, sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.
Majlis Peguam juga memohon perintah ‘certiorari’ untuk mengetepikan dan membatalkan keputusan serta prosiding yang berkaitan dengan aturan tersebut.
Sementara menunggu penyelesaian penuh semakan kehakiman, badan guaman itu memohon pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib digantung serta-merta.
Pemohon berhujah bahawa aturan tahanan rumah berkenaan bersifat ultra vires kerana Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan kuasa pengampunan dan penggantungan hukuman, bukannya membenarkan variasi cara pelaksanaan hukuman penjara yang tidak diiktiraf di bawah mana-mana undang-undang jenayah di negara ini.
Menurut pemfailan itu lagi, aturan terbabit didakwa mencabuli prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan keutamaan tidak seimbang berbanding banduan lain, di samping mendakwa responden gagal mengambil kira kewujudan sabitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dihadapi beliau.
Berdasarkan sistem kehakiman, pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan ditetapkan di hadapan Hakim S. Indra Nehru hari ini.
Pada 10 November lalu, Najib mula menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028 selepas melunaskan bayaran denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November.
Beliau sebelum ini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 berhubung sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, sebelum mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu.-MalayaDailyToday























































