KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dilaporkan putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang di sebuah pangsapuri di Desa AmanPuri, Kepong, semalam.
Bagaimanapun, anggota polis berusia 26 tahun itu kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Media melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 4 petang mengenai kejadian seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk di pangsapuri berkenaan.
Katanya, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas KKM kemudian bergegas ke lokasi bagi mengawal keadaan.
“Lebih kurang pukul 7 malam, semasa dalam proses melaksanakan tindakan ke atas maklumat itu, apabila pintu rumah itu dibuka, seorang individu meluru keluar dengan bersenjatakan dua bilah parang.
“Suspek bertindak menyerang pasukan polis dengan parang menyebabkan seorang daripada anggota bertugas di Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu mengalami kecederaan,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, anggota polis itu mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus ketika cuba mempertahankan diri daripada serangan itu.
Jelas beliau, anggota lain kemudian berundur untuk menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah sebelum dikesan polis berhampiran sebuah taman permainan.
Katanya, mangsa turut mengalami beberapa kecederaan pada kepala dan badan serta dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke HKL bagi menjalani pembedahan.
Dalam pada itu, Shazeli mengesahkan warga asing yang menetak pergelangan tangan anggota polis itu meninggal dunia selepas ditembak polis ketika dikesan berhampiran taman permainan di kawasan perumahan itu.
Katanya, suspek sekali lagi cuba menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan dalam usaha mempertahankan diri.
“Suspek meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Dilaporkan rakaman video mengenai kejadian itu tular dalam media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.-MalayaDailyToday
























































