ALOR SETAR – Seorang kru berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih hilang, selepas sebuah vesel nelayan dilaporkan tenggelam di perairan Kuala Teriang di Langkawi, Ahad lalu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis Kapt Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kru bernama Basri Mohd Nor, 47, diselamatkan vesel nelayan tempatan berhampiran lokasi kejadian.
Jelasnya, mangsa kemudian dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di kawasan berkenaan.
“Operasi CARILAMAT bagi mengesan tiga lagi kru vesel nombor pendaftaran KF 5420 (B) itu, kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohamad Shukri, berdasarkan maklumat awal, vesel tersebut kali terakhir dapat dihubungi pada Ahad kira-kira pukul 11.33 malam, ketika berada sekitar lapan batu nautika ke barat Pulau Burau, Langkawi.
Beliau berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat awal mengenai kejadian daripada Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah pada 10 November, kira-kira pukul 4.35 petang, selepas pemilik vesel melaporkan gagal menghubungi bot berkenaan.
Jelas beliau, tiga kru masih hilang, termasuk tekong vesel dikenali sebagai Kee Swee Kiat, 51 dan operasi pencarian diteruskan bagi mengesan semua mangsa.
“Operasi CARILAMAT disambung semula pada 7.30 pagi tadi, melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM Sugut dan Bot Kilat 6 serta Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi aset PLC 5,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, pencarian dilaksanakan berpandukan janaan Sistem SAROPS dengan pembahagian kawasan operasi kepada tiga sektor bagi memastikan liputan pencarian lebih sistematik dan menyeluruh
Katanya, Pusat Kawalan Hadapan (PHC) turut ditubuhkan di MRSC Langkawi bagi menyelaras pergerakan aset, penugasan anggota serta perkembangan operasi secara berterusan.
“Maritim Malaysia turut mempergiat usaha pencarian menerusi penyelaras bersama agensi berkaitan dan komuniti maritim setempat bagi memperluas kawasan pengesanan mangsa,” katanya.
Komuniti maritim dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-966 2750 atau talian kecemasan 999.-MalayaDailyToday























































